Bersih dakwa Muhyiddin rasuah, tuntut SPRM siasat




SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut melakukan siasatan susulan tindak tanduk perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa menggunakan amalan rasuah semasa berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) di Sabah.

Gesaan itu dibuat sebuah badan pemantau pilihan raya susulan tindakan Muhyiddin cuba meraih sokongan dengan penyampaian sebuah cek replika untuk bantuan lebih RM60 juta dalam majlis kerajaan persekutuan di Beaufort, semalam.

“Muhyiddin dengan jelas menggunakan kedudukannya dan sumber kerajaan untuk mempengaruhi pengundi di Sabah untuk mengundi calon yang selari dengan Perikatan Nasional (PN).

“Kami menggesa pihak SPRM untuk menyiasat tindakan rasuah oleh Muhyiddin dan terhadap semua yang menggunakan kedudukan mereka serta sumber kerajaan bagi memancing undi,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Semalam, Muhyiddin menghadiri acara Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma, di Dataran Bagandang, di Beaufort.

Ahli Parlimen Pagoh itu menyerahkan cek replika untuk bantuan lebih RM60 juta.

Muhyiddin
Dalam majlis dihadiri oleh calon PN bagi Klias itu, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan RM20 juta kononnya untuk petani dan nelayan.

Selain gesaan supaya SPRM menyiasat Muhyiddin, Bersih turut menggesa orang ramai yang menghadiri ceramah di Beaufort membuat laporan polis terhadap apa yang dianggap melanggar peraturan pilihan raya itu. 

Post a Comment

0 Comments