Apa masalah sebenar Zahidi ?, Soal Fahmi


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) digesa tidak lagi bertangguh untuk menyediakan  perkhidmatan internet atau rangkaian jalur lebar percuma di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil susulan kenyataan  Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin yang berkata kerajaan akan meneliti kemungkinan menyediakan perkhidmatan itu.

Bagaimanapun, Fahmi mempersoalkan mengapa perkara itu masih perlu dikaji terlebih dahulu dan tidak terus dilaksanakan.
 
"Hampir kesemua atau memang semua IPT sudah ada internet percuma untuk mahasiswa. Setahu saya, seluruh kampus UM ada prasarana asas ini.

"Dan jika pun ada mana-mana IPT yang belum ada internet percuma, mengapa masih perlu dikaji dibincang? Laksanakan terus sahaja lah!

"Apa masalah Timbalan Menteri ini sebenarnya," soal Fahmi pada hantaran di Facebook malam ini.

Terdahulu, Zahidi berkata  adalah penting untuk memperkasakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan mahasiswa dan pelajar.

Sehubungan itu pihaknya bercadang mahu penyediaan internet atau ‘wi-ii’ percuma di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan membawanya ke lebih banyak IPT.
 
Awal bulan ini Zahidi terbabit dengan  kontroversi membabitkan seorang siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Fahmi bidas Zahidi
Zahidi dan rakan timbalan menteri, Abdul Rahim Bakri menuduh Veveonah Mosibin menipu dalam klip video memaparkan masalah talian internet yang lemah di Pitas, Sabah.

Klip video itu menunjukkan dia mengambil peperiksaan dalam talian di atas pokok.

Setelah dikritik membuli Veveonah. Zahidi telah meminta maaf, bagaimanapun mencipta satu lagi kontroversi apabila berkata kerajaan mahu mengenakan caj bagi pembelian dalam talian.

Susulan itu, kementeriannya tampil membuat kenyataan bahawa perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Post a Comment

0 Comments