KEMENTERIAN Kesihatan memaklumkan 21 kes positif Covid-19 dicatatkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumalah itu membabitkan 16 kes penularan dalam negara itu melibatkan 15 warga tempatan dan seorang bukan warganegara.
Manakala baki kes yang dikesan hari ini membabitkan kes import.
Ketika mengulas kes membabitkan penularan tempatan, Dr Noor Hisham berkata lima kes dilaporkan di Sabah, Kedah (tujuh), Pulau Pinang (dua), dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sarawak.
"Di Sabah, dua kes daripada saringan Kluster Benteng LD melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara, dan masing-masing satu warganegara untuk Kluster Selamat iaitu kluster baharu di Semporna, satu kes saringan kemasukan ke Hospital Tawau dan satu kes saringan ‘sign-off’ kapal di Pelabuhan Sipitang.
"Sementara di Kedah, enam kes daripada Kluster Sungai yang (semuanya) melibatkan warganegara dan satu kes saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar, juga warganegara," katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata bagi penularan tempatan di Pulau Pinang pula, dua warganegara disahkan Covid-19 hasil daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-9397 yang merupakan ahli keluarga tinggal serumah.
Satu kes dikesan di Selangor melibatkan saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh. Manakala di Sarawak, satu kes saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), masing-masing melibatkan warganegara," katanya.
Dengan semua pertambahan kes hari ini, jumlah keseluruhan Covid-19 di Malaysia setakat ini ialah sebanyak 10,052 kes.
15 kes pulih daripada Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,250 kes.
Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 674 kes dengan 13 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). DUa kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian dilapor hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia kekal 128 kes.
0 Comments