SEORANG pemimpin wanita dari PAS didakwa tidak sensitif dan bersikap cuai apabila memuat naik gambarnya bersama anak mangsa kepada kes pembunuhan baru-baru ini.
Melalui satu kenyataan, Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata tindak tanduk Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff tidak bertanggungjawab apabila mendedahkan identiti remaja berkenaan dalam media sosialnya.
Lebih memalukan, tindakan Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu telah mencabuli peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 yang digubal bagi melindungi kebajikan dan keselamatan golongan terbabit.
"Tindakan berkongsi gambar beliau menziarahi kanak-kanak tersebut - yang merupakan anak kepada mangsa pembunuhan baru-baru ini - tular di media sosial dan (digunakan) media arus perdana sehingga nama dan gambar kanak-kanak terbabit dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia bertarikh 5 Ogos 2020," kata kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh; Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah; dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.
Siti Zailah sebelum ini menziarahi seorang remaja yang merupakan anak kepada mangsa bunuh yang menarik perhatian ramai baru-baru ini. Lawatan itu mendapat liputan akhbar Utusan Malaysia.
Difahamkan gambar tersebut turut dikongsikan di Instagram Siti Zailah sebelum ia kemudiannya dipadamkan.
![]() |
Hantaran yang didakwa dipadamkan |
Tambah mereka, sebagai seorang pemimpin di sebuah kementerian yang menjadi pemegang taruh utama isu kebajikan wanita dan kanak-kanak, Siti Zailah sepatutnya lebih peka dengan keperluan menjaga identiti remaja terbabit selain mempamerkan nilai yang boleh dijadikan teladan.
Sementara itu dalam satu laporan oleh Malaysiakini, Siti Zailah yang dihubungi portal berkenaan dilihat enggan bertanggungjawab atas kesilapan itu apabila cuba mengalihkan kesalahan dalam isu itu kepada Utusan Malaysia.
"Utusan Malaysia yang menemu bual keluarga berkenaan. Kesilapan Utusan Malaysia ialah tidak kaburkan gambar," katanya dipetik laporan itu
Ketika ditanya portal sama, adakah punca hantaran di media sosialnya dipadam, Siti Zailah hanya menjawab: "Tiada kaitan."
0 Comments