KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan sebanyak 7 kes baharu berkaitan Covid-19 dikesan.
Menurutnya, jumlah tersebut terdiri dari 3 penularan dalam negara dan 4 kes import.
“Antara kes tempatan melibatkan 1 daripada kluster Tawar dan 2 kes kluster Sala.
“Manakala, bagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan 2 warga Malaysia dan 2 bukan warganegara iaitu dari Bangladesh dan United Kingdom,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham memaklumkan 26 pesakit disahkan sembuh hari ini manakala 192 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.
Sementara itu, 8 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 2 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,219 kes Covid-19 dengan 8,902 daripadanya sembuh, manakala sebanyak 125 kematian telah dicatatkan.
Dr Noor Hisham turut mengulas perkembangan dua klaster baharu.
Berkenaan, jangkitan kluster Tawar, beliau memaklumkan jumlah kes positif Covid-19 bagi kluster itu adalah 47 kes termasuk 1 yang dilaporkan hari ini.
“Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 1,490 orang disaring dalam kluster ini,” katanya.
Bagi kluster Sala, jumlah terkini positif Covid-19 sebanyak 8 kes dengan seramai 635 individu disaring sehingga 12 tengah hari tadi.
Hisham menjelaskan, punca jangkitan kluster Tawar dan Sala masih dalam siasatan namun hasil siasatan ke atas kes positif kedua-dua kluster ini mendapati penularan jangkitan disumbang beberapa faktor umum.
0 Comments