KERAJAAN Negeri Pulau Pinang melanjutkan tempoh tuntutan bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada peniaga dan penjaja berlesen di negeri itu sehingga 8 Ogos 2020.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dipetik laporan Buletin Mutiara berkata, sehingga 26 Julai lalu, daripada 13, 967 peniaga yang layak menerima pakej bantuan itu dibawah Fasa 1, sejumlah 2,647 peniaga dan penjaja berlesen di negeri ini masih belum membuat tuntutan.
“sehingga 26 Julai 2020, di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) seramai 151 daripada 6,957 peniaga masih belum menerima bayaran.
“Manakala di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula, seramai 2,496 daripada 7,010 peniaga masih belum terima bayaran kerana mereka tidak mengemukakan maklumat bank untuk tujuan pembayaran,” ujarnya dalam satu sidang media.
Mengulas lanjut mengenai bayaran Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang Fasa 2 pula, Jagdeep berkata, terdapat juga baki penerima yang masih belum mengemukakan maklumat bank untuk tujuan pembayaran.
“Di bawah Fasa 2, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan bayaran bantuan khas kepada penjaja atau penggerai yang berniaga di kompleks-kompleks makanan atau shoplots persendirian.
“Daripada 3,241 penerima yang layak, seramai 1,577 penerima masih belum menerima bayaran. Kebanyakannya tidak mengemukakan maklumat bank dan pembayaran masih dalam proses.
“Bagi peniaga tagging yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan pula, seramai 3,922 penerima daripada keseluruhan 5,492 penerima layak masih belum menerima bayaran dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.04 juta,” katanya.
Ketua Menteri,Chow Kon Yeow sebelum ini mengumumkan sejumlah RM151 juta diperuntukan sebagai pakej rangsangan ekonomi kepada golongan paling terkesan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Sehubungan itu, Jagdeep menyeru mana-mana peniaga dan penjaja kecil yang berlesen dan berkelayakan untuk tampil menuntut bayaran bantuan khas dengan kadar segera.
"Masih ramai yang tidak tampil membuat tuntutan, oleh itu, saya ingin memaklumkan bahawa tarikh akhir tuntutan adalah sehingga minggu hadapan, 8 Ogos 2020.
“Mereka boleh hadir ke kaunter MBSP bagi peniaga dan penjaja di Seberang Perai atau menyemak melalui portal MBPP bagi peniaga dan penjaja di bahagian pulau,” jelasnya.
0 Comments