KENYATAAN Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang cuba menidakkan kesalahan dilakukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali dikritik.
Pemuda AMANAH Nasional melalui satu kenyataan menegaskan bahawa kenyataan terbaharu Tuan Ibrahim yang mengaitkan pemandu lori yang menurutnya tidak perlu kuarantin dengan kes Khairuddin adalah dangkal dan mengelirukan.
Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, beliau merasa hairan dengan kenyataan tersebut kerana pemimpin PAS itu merupakan anggota kabinet kerajaan yang membuat peraturan pencegahan penyebaran Covid-19 termasuklah arahan wajib kuarantin kepada sesiapa yang datang dari luar negara.
“Tuan Ibrahim telah menyamakan situasi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali seperti ’lori menghantar sayur’.
“Adakah beliau faham dengan kenyataan yang dikeluarkan itu? Beliau merupakan anggota Kabinet.
“Adakah disebabkan seorang menteri melanggar arahan wajib kuarantin beliau perlu membela semberono sedemikian rupa?” bidasnya.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam kuliah subuh di Pulau Melaka, Kelantan pada 23 Ogos lalu menyamakan situasi Khairuddin seperti ’lori menghantar sayur’.
“Justeru, Pemuda AMANAH berharap sebagai seorang anggota Kabinet, beliau wajar menyemak kesahihan fakta terlebih dahulu dan tidak mengelirukan orang ramai sebelum membuat sebarang kenyataan dangkal seperti itu,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, Khairuddin dikritik hebat susulan tindakannya tidak melakukan kuarantin diri sendiri, beberapa pemimpin termasuk dari Perikatan Nasional (PN) mahu Khairuddin dikenakan tindakan sewajarnya.
Malah Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilapor media sebagai berkata, kertas siasatan terhadap Khairuddin telah dibuka susulan dakwaan gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah.
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhamad Taqiuddin Cheman berkata, pandangan Tuan Ibrahim itu tidak langsung membumi dan dilihat cuba menyelamatkan rakannya Khairuddin.
![]() |
Muhamad Taqiuddin |
“Beliau hanya mempamerkan ketidaktahuan maklumat berkenaan isu semasa.
“Saya nasihatkan Tuan Ibrahim menarik semula kenyataannya agar ia tidak menjadi suatu alasan untuk rakyat di Malaysia melanggar SOP yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” ujarnya lagi.