Azmin menteri gagal, suka 'himpit' PM - Dr Dzulkefly



SEORANG bekas menteri mempersoalkan mengapa Mohamed Azmin Ali tidak menyuarakan 'kegagalan' kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika berada didalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohammad.

Bekas menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik temubual eksklusif bersama Malaysia Dateline berkata, hal tersebut boleh dilakukan  Azmin memandangkan hampir setiap minggu Jemaah Menteri bermesyuarat.

Dzulkefly sebelumnya mengulas kenyataan Azmin
semasa ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang mendakwa HARAPAN gagal dan lebih ramai rakyat akan mati sekiranya HARAPAN terus memerintah.

“Selama 21 bulan tidak pernah dibangkitkan kelemahan-kelemahan kita sebagai kerajaan. Kita ada semak imbang dan berbincang.

“Tetapi beliau berkempen mengatakan HARAPAN gagal, saya cenderung memikirkan yang dimaksudkan gagal itu adalah mungkin kementeriannya sendiri,” kata Dzulkefly menurut laporan itu.

Sambil menafikan bahawa HARAPAN gagal, Dzulkefly berkata kerajaan ketika itu melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pertanian pernah memutuskan beberapa langkah menangai isu Felda yang terletak di bawah kementerian diterajui Azmin.

Beliau turut mendedahkan bahawa peruntukan sebesar RM5 bilion telah diluluskan kepada kementerian yang dipertanggungjawabkan ke atas Azmin.

Namun tambahnya, Azmin gagal golongan membantu peneroka Felda ketika suasana ekonomi sangat memerlukan mereka mendapat bantuan kerajaan.

Azmin hanya melancarkan projek besar iaitu Dasar Kemakmuran Bersama Dan Kertas Puteh Felda tetapi tidak siapa yang tahu dengan jelas kesan dan hasilnya kepada rakyat dan negara.

Selain itu jelas Dzulkefly, Azmin juga turut gagal melaksanakan usaha menambah pendapatan rakyat melalui tanaman kontan dan ternakan ruminan yang dirancang bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dibawah Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Saya masih ingat dalam pusingan mesyuarat Kabinet, sebenarnya telah ada beberapa keputusan yang mereka sepakati.

“Saya bertanyakan kepada menteri-menteri ini. Perancangan baik, kewangan yang diberikan juga baik, RM5 bilion peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

"Tetapi beliau (Azmin) gagal melaksanakan dan menunaikannya,” tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Mengulas lanjut karekter Azmin, Dzulkefly berkata, individu dianggap sebagai 'pengkhianat' oleh penyokong HARAPAN itu  bukan individu yang multitasker.

Malah Azmin pada pandanganya lebih fokus untuk mendapat jawatan yang lebih besar berbanding rakan-rakan lain yang sibuk bekerja tanpa mengira waktu.

“Minta maaf kalau saya mengatakan bahawa kami rasa pada ketika itu lagi menteri ini (Azmin) memang sibuk berdamping dengan Perdana Menteri membuat lawatan-lawatan.

“Saya dan menteri-menteri lain bertungkus-lumus selama 21 bulan siang, malam tiada hujung minggu.

“Rupanya beliau fokus kepada Langkah Sheraton kerana beliau tidak minat dengan Menteri Ekonomi dan mahu jawatan yang lebih tinggi,” kata Pengarah Strategi AMANAH itu dipetik.

Post a Comment

0 Comments