Pelumba negara nekad potong jari kelingking


PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi membuat keputusan besar apabila memutuskan untuk memotong jari kelingking kanannya.

Menyifatkan ia sebagai 'pengorbanan besar', Khairul Idham yang terkenal dengan jolokan SuperKIP berkata, ia demi masa depannya dalam arena sukan permotoran dua roda.

Sebelum ini, SuperKIP mengalami retak serius di bahagian jarinya setelah terjatuh di sesi latihan bebas Moto2 di GPSepanyol 2019

"Memang satu keputusan sukar untuk memotong jari saya tetapi demi masa depan, saya cuba yang terbaik bagi meningkatkan lagi keserasian (ketika menunggang).

"Seperti sebelum ini ketika jari lurus (tak boleh bengkok), saya selalu juga memikirkan sekiranya jatuh, tentunya akan ada masalah dengan jari itu. Jadi saya perlu sentiasa berhati-hati.

"Sekarang ini, saya harap tidak akan ada gangguan lagi pada jari dan saya akan berjumpa dengan doktor selepas ini untuk melihat keadaannya. Saya harap ia dapat pulih dengan cepat bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada latihan dan juga perlumbaan seterusnya di Misano nanti," katanya.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu menjalani pembedahan memotong jarinya di Barcelona, Sepanyol pada Selasa.


Untuk rekod, pelumba berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan jari ketika saingan Grand Prix (GP) Sepanyol dalam kelas Moto2 pada Mei tahun lepas.

Selepas kecederaan itu, Khairul Idham menjalani dua pembedahan bagi memperbaiki struktur jari dan menyaksikan dirinya terpaksa diketepikan daripada saingan kelas pertengahan sehingga musim 2019. Pada Mac, SuperkIP kembali bersaing dalam kelas Mot03.

Kecederaan sama berulang selepas beliau terlibat dalam kemalangan ketika sesi ujian bebas GP Republik Czech di Litar Brno pada 8 Ogos, sebelum pasukan Petronas Sprinta Racing mengambil keputusan merehatkannya daripada GP Styria di Litar Red Bull Ring, Austria, baru-baru ini.

Post a Comment

0 Comments