TIMBALAN Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dipelawa melihat sendiri proses penghantaran sayur melalui lori di Tambak Johor.
Pelawaan itu disuarakan Adun Perling, Cheo Yee How susulan kenyataan Tuan Ibrahim yang menyamakan pemandu lori yang menghantar bekalan makanan di sempadan negara dengan tindakan seorang menteri yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah baru-baru ini.
Tambahnya, kenyataan Tuan Ibrahim itu menunjukkan beliau tidak sensitif dan cuba memperbodohkan rakyat.
“Tuduhan terhadap pemandu lori ini tidak munasabah kerana susah payah mereka seperti tidak langsung dipandang oleh kerajaan.
“Janganlah terlalu membela kawan sehingga membelakangkan nasib rakyat yang sedang terbeban ketika ini. Kenyataan tersebut telah mengguris hati rakyat Malaysia di seberang tambak.
“Saya mohon untuk beliau (Tuan Ibrahim) berhenti dari memperbodohkan rakyat dengan kenyataan naif seperti itu," tegasnya.
Choe turut mengingatkan bahawa seseorang pemimpin wajar bersikap rasional dan menyelidik terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Saya ingin mengajak beliau untuk datang ke Johor melihat sendiri bagaimana lori sayuran setiap hari berulang alik di Tambak (Johor) untuk beliau maklum akan hal tersebut. Beliau perlu lihat dengan matanya sendiri,” katanyalagi.
Untuk rekod, Pada 23 Ogos, Tuan Ibrahim berkata, pemandu lori yang berulang-alik menghantar sayur ke Singapura tidak perlu melakukan kuarantin diri dan tindakan Khairuddin tidak sepatutnya dijadikan isu.
Bagaimanapun, kenyataan yang disiar dalam kuliah di laman facebooknya itu tidak disenangi rakyat dan menganggap ia sekadar membela rakan sama parti dengannya.
Pemandu lori terkilan
Kenyataan Tuan Ibrahim itu turut mendapat kritikan Persatuan Pengusaha Lori Johor.
Naib presiden persatuan itu, Andrew Chia dipetik laporan Malaysiakini berkata, mereka 'terkilan' dengan kenyataan "tidak masuk akal" Tuan Ibrahim dan menggesa agar golongan tersebut tidak digunakan sebagai alasan untuk melepaskan Khairuddin daripada kesalahannya.
"Ini bukan hal yang sama. Ketika menteri telah melakukan sesuatu yang salah, beliau tidak boleh menyeret orang lain ke dalamnya.
"Kami telah mendapat kebenaran untuk mengirimkan barang dan produk sejak awal ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi dan tugasan ini tidak boleh dibandingkan dengan perjalanan menteri ke luar negara.
"Kamu sebagai pemimpin kerajaan mesti bersikap adil. Sekiranya kamu salah, kamu salah dan tidak boleh menggunakan orang lain sebagai kambing hitam," kata Andrew.
0 Comments