PENGUATKUASAAN perintah pemakaian pelitup muka di kawasan yang sesak tidak boleh bersifat pilih kasih.
Demikian ditegaskan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit), Dr. Christopher Lee Kwok Choong ketika mengulas ciapan Twitter oleh pakar pediatrik bersara Dr Amar Singh.
Amar sebelumnya berkongsi gambar menteri Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang muncul di bilik yang sesak tanpa pelitup muka dan bertanya: "Adakah kita denda kesemua mereka ini yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada 8 Ogos 2020?
Lee yang merupakan bekas Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh itu membalas ciap Amar.
"Kita harus konsisten dan mengamalkan syarat memakai pelitup muka secara seragam di semua lapisan masyarakat.
"Jika tidak, ini benar-benar melemahkan dasar kita dan membawa kepada penguatkuasaan terpilih. Rakyat dapat melihat ...," katanya lagi.
Pandangan Lee itu muncul ditengah kritikan warganet terhadap tindakan polis memberi kompaun RM1,000 terhadap seorang remaja yang menurunkan pelitup mukanya ketika menunggu di platform kereta api.
Dalam video dikongsikan TV3 itu, remaja tersebut dilihat menangis setelah dikenakan denda dan berkata dia hanya menurunkan pelitup muka kerana berasa gatal. Susulan insiden itu, banyak pihak tampil membela remaja tersebut.
Mereka mempersoal penguatkuasaan yang dakwa mereka sebagai berat sebelah dengan membangkitkan gambar sejumlah ahli politik yang tidak memakainya di tempat awam.

Seorang pemilik akuan dengan nama "Nontoxic" menggesa polis agar mengambil tindakan terhadap menteri-menteri dalam gambar yang dikongsikannya.
"Jangan buat-buat tak nampak. Gambar ada, tarikh ada. Pergi saman lekas," katanya.
0 Comments