ULASAN | Seorang
ibu sedang menyiapkan masakan untuk hidangan tengah hari apabila dia
melihat ke arah anak perempuannya yang membantu di dapur.
"Kamu mabuk ke?" tanya si ibu.
"Ish! Taklah!" jawab anak perempuan itu, "mengapa?"
"Kamu potong sayur dengan kad kredit!" sergah si emak.
Untuk
memikat hati lelaki - kata orang bestari - ialah menerusi perutnya.
Maka seorang wanita yang baik biasanya juga seorang tukang masak yang
cekap dan lihai.
Kebahagiaan juga sering berkait rapat dengan
perut. Kadang-kadang saiz perut juga boleh menjadi penanda aras terhadap
kehidupan seseorang.
Walaupun ada ketikanya saiz perut bukan penentu
nafsu seseorang, selalunya perut jugalah yang akan dirujuk untuk menelek
susah senang hidup manusia.
Pun begitu sebagai manusia yang baik,
kita perlu akur dan faham bahawa daripada semua keutamaan yang ada,
keutamaan teratas untuk umat Melayu di negara ini ialah memastikan perut
'saudara' kita sentiasa penuh.
Justeru
apabila ada pihak mempertikaikan mengapa duit yang begitu besar
dibelanjakan untuk jamuan makan tengah hari segelintir ahli parlimen
bersama speaker Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlu berasa marah.
Ia
bukan sekadar perut semata-mata, sebaliknya turut mencabar maruah kita
sebagai bangsa Melayu.
Apa salahnya untuk orang bergelar seperti perdana
menteri, menteri kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan
yang dipertua badan bebas makan-makan bersama?
Semua wajib digembirakan
Mengapa
ada manusia yang berasa sakit hatinya melihat orang kenamaan begitu
bergembira, berlawak bertepuk tampar dan berceloteh sambil menghirup
kuah patin tempoyak?
Bukannya selalu orang kenamaan itu dapat
menikmati hidangan sedemikian.
Biasanya mereka hanya makan nasi berlauk
garam saja hampir setiap masa.
![]() |
Contoh makanan mewah | Foto - Google |
Ada kemungkinan besar semasa makan
itu, entah berapa suap saja yang masuk ke tekak masing-masing kerana
terlalu sibuk memikirkan cara membangunkan negara dan membela kita.
Tambahan
pula sesetengah daripada mereka ke sana dan ke sini dengan poket yang
dipenuhi habuk dan debu saja.
Wang tunai yang ada dalam poket
masing-masing selalu saja terhad kerana ia disalurkan kepada orang lain.
Di
sana ada wakil penduduk setempat atau pengundi yang perlu dipayung. Di
sini pula ada ketua-ketua dan setiausaha bahagian yang perlu diteduhkan
jiwa masing-masing.
Kalau turun padang berjumpa rakyat, akan ada
permintaan itu ini.
Semuanya mesti digembirakan. Jika tidak negara
akan berdepan bermacam bahaya. Ancaman kuasa asing atau gugatan bom
nuklear, misalnya.
Ketahuilah betapa terseksanya untuk orang
terpilih itu menjadi perdana menteri dan menteri. Pedulilah sama ada
menteri kanan, kiri atau tengah. Begitu juga menjadi pengerusi GLC.
Semuanya tidak mudah.
Sebelum ini mereka bermati-matian menolak
jawatan tersebut. Khabarnya selepas diugut itu dan ini barulah ahli-ahli
parlimen itu bersetuju menerima tawaran menjadi menteri atau pengerusi
GLC tersebut.
Kita - rakyat ini - yang hidup menggoyang kaki sejak
celik mata sejak sebelum subuh hingga sesudah tengah malam perlu
berlapang dada melihat hidangan ikan kerai goreng dan udang galah
berselerak di atas meja itu.
Jika masih berasa marah, tarik nafas
dalam-dalam dan bertenang. Lihat senarai harga yang dipaparkan pada
resit berkaitan. Semuanya dikenakan caj yang murah.
Lebih daripada
itu, lauk-pauk dan ulam-ulaman seperti udang galah, ikan kerai dan
patin tempoyak itu cumalah hidangan orang yang melarat hidupnya.
Kita
yang kaya-raya ini bersyukurlah dapat menikmati ikan sardin, ikan
kembung dan telur mata kerbau sembilan kali seminggu.
Dan seperti yang dinyatakan di atas, untuk menambat hati seseorang, perlulah dilunakkan perutnya.
Perjuangan belum selesa
Ahli-ahli
parlimen dan pegawai kanan Dewan Rakyat itu wajib dipastikan terus
sanggup menggalas amanah yang diberikan rakyat. Jika kelaparan,
bagaimana mereka dapat terus berbakti kepada negara?
Bukankah memang itu maksud kita mengundi mereka pada 9 Mei 2018 dulu?
![]() |
Perlu dipastikan kenyang | Foto - Google |
Pertama,
membawa mereka ke parlimen. Kedua, memastikan mereka menggalas tugas
yang maha berat sebagai pengerusi GLC. Ketiga, memastikan ahli-ahli
parlimen berkenaan mendapat gaji sekupang dua. Dan keempat, menunjukkan
kepada kita bagaimana hidup dengan penuh tawaduk dan mengekang segala
nafsu untuk bermewah-mewah.
Sementara menunggu parlimen
dibubarkan, biarkan mereka hidup menderita begitu.
Perjuangan kita belum
selesai. Apabila tiba masa untuk mengundi lagi, kita perlu lebih berani
dan gigih membawa tokoh berwibawa sebegitu untuk terus diseksa dengan
jawatan besar di GLC atau kabinet.
Untuk penutup, hayati cuplikan daripada carian di Google ini:
Seorang
profesor sedang menikmati hidangan tengah hari apabila ada pelajar yang
dibencinya datang dan duduk semeja. Lalu profesor itu pun berkata:
"Babi dan burung tak boleh makan bersama."
Lalu pelajar berkenaan bangkit dan - sebelum berpindah ke tempat lain - membalas: "Baiklah, saya akan terbang ke meja lain."
Apabila
di hujung pengajian, profesor tersebut - yang masih menyimpan dendam -
melihat keputusan peperiksaan pelajar yang dibencinya itu. Pelajar
terbabit lulus dengan cemerlang. Maka sempitlah peluangnya untuk
membalas dendam.
Namun dia tetap tidak berputus asa. Dia memanggil pelajar berkenaan dan bertanyakan soalan.
"Ada
dua beg ditinggalkan di jalan. Satu penuh dengan wang dan satu lagi
sarat berisi kebijaksanaan. Mana satu yang kamu pilih?" tanya profesor
tersebut.
"Beg berisi wang," jawab si pelajar dengan penuh yakin. Profesor tersebut tersenyum lebar. Pintu membalas dendam terbuka luas di depannya.
"Saya fikir beg berisi kebijaksanaan lebih baik," kata profesor. Pelajar itu menjawab dengan selamba: "Saya tahu. Orang selalu memilih sesuatu yang tak mereka miliki."
Khalas.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini dipetik dari siaran portal tersebut dan tidak menggambarkan pendirian kartelmedia.
0 Comments