PEMIMPIN Pemuda DAP (Dapsy) Seputeh membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin parti PAS yang didakwa tidak mamatuhi arahan kuarantin wajib dikuatkuasa kerajaan.
Ketua Dapsy Seputeh Diccam Lourdes Lourdhusamy berkata dia telah membaca laporan berita yang mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali telah melanggar arahan itu dan laporan itu difailkan bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ketua Polis Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin dipetik laporan Malaysiakini memaklumkan telah menerima laporan itu.
Terdahulu, Khairuddin dilapor pergi telah ke Turki pada 3 hingga 7 Julai.
Sepanjang tempoh itu, Turki merekodkan 5,600 kes baru dan 93 kematian, negara itu secara keseluruhan mencatatkan 250,000 kes positif dengan 6,061 kematian.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan di Dewan Rakyat, Khairuddin tidak mengkuarantin diri selepas pulang dari negara itu atas urusan peribadi dan telah bertindak hadir ke Dewan Rakyat pada 13 Julai.
Tindakan Khairuddin itu dibimbangi mendedahkan Ahli Parlimen kepada wabak tersebut.
Dalam perkembangan lain, Diccam pada hantaran di media sosial pula mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah susulan tiada tindakan dikenakan terhadap Khairuddin seperti dikenakan kepada rakyat yang melanggar arahan tersebut.
“Jika rakyat biasa yang pergi ke Turki dan pulang mereka perlu melalui kuarantin 14 hari. Mengapa menteri ini tidak dikuarantinkan?.
“Mereka ini Superman (adiwira) kah? Bila jadi menteri atau ahli parlimen ada perisaikah,” soalnya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook.
Beliau turut mempersoalkan apakah Khairuddin akan berdepan hukuman denda atau penjara sama seperti rakyat biasa sekiranya didapati bersalah melanggar arahan tersebut.
Penyelia dipenjara langgar kuarantin
Awal Jun lalu, seorang penyelia tapak didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Sibu.
Jeffery Jambo Dan, 27, didakwa mengingkari perintah itu apabila pergi ke sebuah kafe di Sibu Jaya untuk menikmati sepinggan mi kampua dan memuat naik gambarnya dalam laman sosial Facebook selepas pulang dari Kuala Lumpur.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret bertanya kepada Jeffery sama ada memahami syarat dikuarantin dan adakah tertuduh menyedari tindakannya yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada masyarakat.
Memetik laporan oleh portal Berita Harian, Jeffery kemudiannya menjawab dia memahami kesalahannya.
0 Comments