SEKALI lagi jasa dan sumbang bakti Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dihargai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan, Dr Noor Hisham sebagai tokoh bagi sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah.
Pengumuman sempena meraikan kehadiran tahun baharu menurut kalender Islam itu diadakan di Masjid Negara, malam tadi.
Sementara itu, Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Ahmad Tayyib pula, diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Zulkifli berkata, pemilihan kedua-dua tokoh itu dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringkat nasional dan global.
Malah kedua-duanya tokoh itu menurut Zulkifli telah meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa atas sumbangan mereka.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan pada majlis itu.
Kedua-dua tokoh terbabit masing-masing dianugerahkan pingat dan sijil penghargaan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan isteri Noorainee Abdul Rahman.
BACA: Dr Noor Hisham kini bergelar Tan Sri
Sebagai rekod, Dr Noor Hisham pada awal minggu ini dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong
0 Comments