SEORANG wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan penanda aras pendapatan garis kemiskinan (PLI) di negara ini ketahap yang lebih tinggi.
Charles Santiago (HARAPAN - Klang) berkata, nilai RM2,208 yang diguna pakai berdasarkan kadar PLI 2019 yang baru diumumkan adalah tidak masuk akal dan tidak mampu mencerminkan tahap sebenar masalah kemiskinan rakyat di negara ini.
Menurutnya, panduan PLI 2019 itu dibahagikan kepada kos perbelanjaan makanan dan bukan makanan iaitu masing-masing RM1,038 dan RM1,170.
Panduan perbelanjaan tersebut jelasnya berbeza dengan kadar RM2,490 untuk dewasa bujang, pasangan tanpa anak sebanyak RM4,420, pasangan dengan dua orang anak RM6,620 dan pasangan berumur RM3,089 dikeluarkan oleh Belanjawanku 2019 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menurutnya lebih komprehensif untuk golongan bandar.
"Tidakkah ironi apabila kajian Belanjawaku dan kajian PLI kerajaan yang dilakukan pada tahun yang sama menunjukkan perbezaan data yang sangat ketara semasa menganggarkan kos sara hidup?
“Langkah meletakkan PLI pada jumlah yang rendah adalah untuk menunjukkan kejayaan kerajaan mengatasi kemiskinan.
“Isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah tahap PLI dianggap miskin. Tetapi kita sekarang tahu bahawa PLI sebanyak RM2,208 adalah sangat mengarut,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen.
Keenganan kerajaan menaikkan PLI jelasnya akan menyebabkan kesukaran mengenal pasti isi rumah miskin dan sekaligus akan menyebabkan golongan itu terus dibelenggu masalah kemiskinan.