KERAJAAN Negeri Selangor yang dipimpin KEADILAN bakal melaksana semula pemberian wang khairat kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, program tersebut yang dimulakan kerajaan negeri sejak 2008 itu akan dimulakan semula tahun hadapan.
"Kerajaan negeri sentiasa menghargai rakyat negeri ini dengan menyalurkan bantuan, yang masih hidup diberi bantuan baucar Jom Shopping dan apabila sudah meninggal, keluarga akan diberi wang khairat untuk menguruskan jenazah biarpun tidak sebanyak seperti dahulu," katanya. Amirudin sebelumnya menjawab pertanyaan Dr Idris Ahmad (KEADILAN - Ijok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.
Sebagai rekod, SMUE bermula sebagai skim khairat kematian kepada warga emas dan OKU yang layak sebanyak RM 2,500.
Bagaimanapun memetik catatan di laman web Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mulai 1 Mei 2019, program itu dihentikan dan digantikan dengan pemberian manfaat semasa hidup untuk semua ahli yang berdaftar di bawah skim ini.
Laman web itu berkata, ahli SMUE akan menerima baucer beli-belah bernilai RM100 dan program akan dijalankan di pasaraya-pasaraya yang terpilih di kawasan mereka.
"Program ini tidak dihentikan seperti mana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia sedang dilaksanakan penjajaran semula," kata ADUN Sungai Tua itu dipetik.
0 Comments