Putrajaya digesa sita kapal layar dikaitkan dengan 1MDB


SEORANG Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Putrajaya menyita sebuah kapal layar mewah yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tony Pua dalam kenyataan berkata, Kerajaan perlu mengemukakan tuntutan antarabangsa bagi merampas kapal layar bernilai RM2.93 bilion itu yang dahulunya dikenali sebagai Topaz itu.

Jelasnya, kapal layar yang dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB oleh sebuah syarikat swasta, Oceanus Maritime pada 2012 itu perlu dilelong sebelum hasilnya dipulangkan kembali kepada Malaysia.

Gesaan itu dibuat Pua susulan laporan akhbar Singapura Straits Times (ST) bahawa abatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengesahkan kapal layar itu, yang kini dikenali sebagai A+, dibeli menggunakan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dilapor telah menyewa A+ sekurang-kurangnya 5 kali antara 2013 dan 2014 di pelbagai lokasi.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan sekiranya  DOJ akan memohon untuk kapal layar itu dijadikan sebahagian usahanya dalam merampas aset 1MDB.

“Kami minta kerajaan Malaysia segera memfailkan tuntutan antarabangsa terhadap Oceanus Maritime untuk menuntut pemulangan AS$160.9 juta yang diseleweng dan ganti rugi tambahan yang sesuai.

“Jika Oceanus Maritime gagal melakukannya, kita mesti menuntut rampasan A+ seperti yang dilakukan terhadap Equanimity dan membuat lelongan antarabangsa kapal layar mewah,” tegas Ahli Parlimen Damansara itu.

Sementara itu, Pua menegaskan Perikatan Nasional (PN) perlu menuruti usaha HARAPAN mendapatkan kembali aset disita berjumlah RM2.1 bilion dikembalikan dalam bentuk wang tunai seperti dilakukan sebelum ini.

“Ini tidak termasuk bantuan disediakan DoJ dalam penyitaan sebuah lagi kapal layar, Equanimity yang kemudiannya dilelong dengan harga AS$126 juta (RM538 juta),” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments