MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa pengarah urusan Jepak Holdings (Jepak) Saidi Abang Samsudin mengaku membayar RM6.5 juta kepada Rosmah Mansor.
Rayyan Radzwill Abdullah yang juga rakan niaga kepada Saidi berkata, pembayaran itu atas bantuan isteri bekas perdana menteri itu dalam mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak kepada syarikat itu.
Memetik laporan sebuah portal, dalam pernyataan saksinya, Rayyan berkata bahawa bayaran itu dilakukan oleh Saidi dalam dua penyerahan berasingan, dan jumlahnya dimaklumkan kepadanya oleh Saidi selepas pembayaran dibuat.
Bayaran kali kedua pula dibuat pada September 2017 ketika Rayyan dan Saidi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Rayyan berkata, pada masa itu, dia dapat melihat pembantu Saidi masuk dan meletakkan dua beg galas berwarna hitam yang mempunyai “stripe” (belang) berwarna oren di tepi sofa berwarna hijau di ruang tamu rumah Rosmah, sambil menunggu Rosmah keluar menemui mereka.
“Rosmah juga tidak kelihatan terkejut dengan pemberian wang tersebut, saya faham wang tersebut diberikan oleh Saidi sebagai tanda terima kasih bagi pemberian solar hibirid Jepak tersebut.
“[...] Saya hanya tahu dua beg galas tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas diberitahu oleh Saidi semasa kami beredar dari rumah Rosmah,” katanya.
Dalam perjumpaan berkenaan, katanya, Saidi memberitahu Rosmah bayaran lain akan menyusul berdasarkan bayaran kemajuan projek berkenaan, sementar Rosmah sekadar mengangguk dan berkata “okaylah”.
Rayyan menyambung keterangan yang diberikannya semalam, sebagai saksi ke-16 perbicaraan rasuah membabitkan Rosmah di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan
Semalam, Rayyan mendakwa Rosmah meminta 15 peratus bayaran atau bersamaan RM187.5 juta daripada jumlah keseluruhan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Rayyan berkata, pada pertemuan antara beliau dan Saidi serta Rosmah di rumah isteri bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta pada Januari atau Februari 2016, Rosmah berkata kepada mereka, "keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang".
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak.
Projek bernilai RM1.25 bilion itudiperoleh secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
0 Comments