SEORANG pemimpin muda mengkritik kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal yang mendakwa kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu disebabkan Tun Dr Mahathir Mohammad.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin kejayaan HARAPAN menumbangkan rejim Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama enam dekad itu bukan terletak semata-mata kepada seorang individu.
Shafie dalam satu wawancara bersama sebuah portal tempatan sebelum ini berkata, peranan Dr Mahathir, terutama berkenaan dengan pengundi Melayu membolehkan HARAPAN dan sekutunya menawan Putrajaya.
Katanya, pengaruh Dr Mahathir telah mengubah keseimbangan kuasa daripada Umno kepada Bersatu pada PRU14 sebelum parti itu bertindak meninggalkan HARAPAN.
Sementara itu, Razeef berkata, Shafie dan semua pihak perlu menerima hakikat bahawa tumbangnya BN pada PRU lalu berpunca dari gelombang tsunami rakyat yang mahu mengubah lanskap politik negara.
“Shafie perlu faham faktor utama tumbangnya kerajaan BN adalah kerana gelombang besar penolakan rakyat terhadap BN dan bukannya kerana individu tertentu sama ada oleh Dr Mahathir atau Shafie sekalipun.
“Dr Mahathir hanya kebetulan berada di tempat dan pada masa yang tepat impak tsunami rakyat menolak BN,” katanya.
Jika mahu menilai seseorang pemimpin sebagai faktor kekuatan, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelasnya lebih layak dianggap pemimpin tersebut.
Sejak 20 tahun lalu, rakyat terutama penyokong yang berada dalam HARAPAN mahu menjatuhkan BN dan melihat sosok utama yang memimpin gelombang reformasi dan gelombang kebangkitan rakyat itu menjadi perdana menteri.
0 Comments