PUTRAJAYA disaran menaikkan elaun perumahan anggota polis bagi meringankan anggota perkhidmatan itu susulan kenaikan kos sara hidup.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini kerana terdapat anggotanya yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi, terutamanya mereka yang tinggal di bandar besar dan elaun ketika ini tidak mencukupi.
Tambahnya keutamaan harus diberikan kepada anggota berpangkat rendah kerana mereka lebih banyak terkesan dengan isu tersebut.
“Saya selalu memperjuangkan elaun rumah untuk anggota. Saya bukan mahu kenaikan gaji, tetapi elaun rumah, terutama bagi anggota polis berpangkat rendah.
“Kalau mereka bergaji RM1,500 manakala rumah sewanya dibayar sebanyak RM600 dengan elaun yang hanya dapat RM260, jadi ia perlu ditambah lebih RM300 lagi,” katanya di Bukit Aman hari ini.
Tambahnya, disebabkan pemberian elaun perumahan yang rendah, beliau sering mempertahan dan melarang penjualan tanah milik polis kepada syarikat swasta yang ingin mengambil kesempatan atas alasan mahu membangunkan kawasan tersebut.
Tanah milik polis tegasnya harus dibangunkan pasukan keselamatan itu sendiri, bukannya pihak lain.
“Katakanlah 10 tahun akan datang, kita ada 30,000 warga polis di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi, sebanyak 30,000 rumah boleh dibina untuk menempatkan mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka ini ada rumah dan tidak perlu elaun bulanan RM360. Saya akan perjuangkan isu ini demi menjaga kebajikan anak buah saya,” katanya.
0 Comments