BERSIH 2.0 mengajak orang ramai menandatangani petisyen menolak usaha menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming oleh Muhyiddin yassin.
Bersih melalui kenyataannya berkata usul seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia kerana jawatan tersebut biasanya dikosongkan hanya apabila Parlimen dibubarkan, berlakunya kematian ataupun peletakan jawatan.
Tambah mereka, sebagai Speaker, Mohamad Ariff telah menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila membawakan agenda reformasi dalam urus tadbir Parlimen
Gabungan itu menyenaraikan tujuh reformasi di bawah Ariff, antaranya pembentukan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen rentas parti, dan pelantikan ahli parlimen pembangkang untuk mempengerusikan Jawatankuasa Audit.
Reformasi lain yang dibuat antaranya adalah mengiktiraf kabinet bayangan pembangkang untuk mendapat akses kepada sumber maklumat kerajaan, peruntukan tempoh soalan perdana menteri secara mingguan, serta slot khas bagi ‘urusan bukan kerajaan’ dan ‘rang undang-undang’.
“Yang di-Pertua Ariff, yang bukan merupakan ahli parlimen dan telah meletak jawatan daripada parti politik sejak pelantikannya bermula pada sidang parlimen ke-14 pada tahun 2018, telah mentransformasikan jawatannya dengan saksama dan benar-benar menghargai semangat kepelbagaian parti.
“Kami dengan ini menuntut semua ahli parlimen untuk mengundi menolak usul bagi menukar Yang di-Pertua Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang berjalan, daripada menggantikan beliau dengan seseorang dengan karakter partisan.
“Kami menggesa semua ahli parlimen untuk menyokong Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau,” kata badan itu.
Petisyen tersebut boleh ditandatangani dalam talian. (Sila Klik)
Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk menggantikan Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming.
Bagaimanapun, seorang lagi timbalan speaker, Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu bersama-sama bekas timbalan presiden KEADILAN, Azmin Ali tidak terkesan dengan usul berkenaan.
0 Comments