SEORANG pemimpin Pakatan Harapan mempersoalkan apa telah jadi kepada kempen "Buy Muslim First" (BMF) yang pernah dijuarai pemimpin PAS sebelum ini.
Muhammad Faiz Fadzil berkata, sikap membisu Pas terhadap kempen itu selepas membentuk kerajaan membuktikan bahawa kempen itu hanya digunakan bagi propaganda politik semata-mata.
"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara, tetapi sekarang ia tidak lagi diendahkan oleh PN dan PAS.
"Malah, dalam ucapan Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, nampaknya kempen BMF sudah diketepikan dan digantikan dengan kempen “Buy Malaysia” yang serupa dengan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” yang digerakkan Pakatan Harapan (HARAPAN)," jelasnya dipetik laporan Awani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu juga menegaskan bahawa kempen BMF boleh membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu selain mempromosikan produk berkonsepkan Islam sekiranya niat kempen itu benar-benar ikhlas.
Namun tegasnya kerajaan PN dilihat tidak berminat meneruskan kempen tersebut apatah lagi ia langsung tidak disentuh dalam tiga Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang diumumkan PN.
"Jika diteliti ketiga-tiga PRE yang diumumkan oleh PN, tidak ada sebarang peruntukan atau geran khusus untuk membantu industri halal Malaysia mengukuhkan operasi yang terjejas akibat wabak Covid-19.
"sekiranya PAS dan PN benar-benar prihatin dengan kempen BMF, langkah-langkah seperti penandaan produk BMF, mengarahkan pasar raya menyediakan sebahagian peratusan “shelf space” untuk barangan BMF dan mewajibkan produk BMF dipromosi di platform e-dagang telah dilaksanakan," tambahnya.
Faiz turut berkata, berbanding PN, kerajaan HARAPAN yang sering ditohmah sebelum ini lebih memberikan perhatian untuk industri halal Malaysia melalui program strategik “be-Halal”.
Menerusi program yang diperkenalkan itu, perniagaan halal tempatan dilatih oleh pakar dan dibangunkan untuk berdaya saing di luar negara.
"HARAPAN turut memberi tumpuan dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera Islam dalam pensijilan halal di Malaysia, yang ketika ini 60% pemegang sijil halal adalah syarikat korporat antarabangsa (MNC) dan peniaga bukan Islam," katanya.
Justeru sebelum terlambat, Faiz mendesak PAS dan kerajaan PN agar tampil dengan penyelesaian yang bersesuaian dengan kempen BMF yang dicanangkan itu.
0 Comments