SEORANG pemandu lori dan dua kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah treler di KM100.3, Lebuhraya PLUS arah selatan, berdekatan susur keluar Yong Peng Utara awal hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Zakaria Mohamed yang dipetik laporan Bernama berkata, identiti pemandu lori jenis Hino itu belum dikenal pasti.
Manakala dua kelindan berkenaan dikenali sebagai Edi Suherman dan Ujang Jamaludin, kedua-duanya berumur dalam lingkungan 20-an.
![]() |
Keadaan lori mangsa | Foto- JBPM Johor |
"Tiba di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori Hino yang melanggar bahagian belakang sebuah lori treler Tiong Nam,” katanya dalam kenyataan.
Ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan dikeluarkan oleh pihak bomba.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan yang berada di lokasi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
0 Comments