PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis gabungan itu akan dapat mengekalkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Dipetik satu wawancara dengan akhbar bahawsa Cina, Sin Chew Daily, Presiden KEADILAN itu berkata, senario terbaik adalah pihak pembangkang memenangi pilihan raya, manakala senario terburuk adalah kebuntuan yang menyaksikan tidak ada satu pun parti mendapati majoriti yang jelas.
Bagaimanapun jelasnya, tadbir urus kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin yang lemah dan pendirian terkini PAS mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan menjadi penyebab rakyat lebih memilih HARAPAN.
"Jangan lupa bahawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat kerana mahu melaksanakan Akta 355.
"Tetapi setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan (PN), menteri-menteri PAS mirip seperti rakan sejawatan mereka dari Umno dan MCA yang mengatakan mereka mesti mengkaji sama ada pindaan itu adalah sah mengikut perlembagaan atau sebaliknya.
"Parti itu memperjuangkannya selama 40 tahun tetapi hari ini mereka berlembut? Macam mana PAS mahu menerangkan ini kepada para penyokongnya?," soal Anwar.
Anwar turut menarik perhatian kepada dasar dipegang PN yang menurutnya "celaru" dengan dasar “flip-flop” yang memeningkan pelabur.
Sementara itu, Anwar tidak menolak kemungkinan bahawa pilihan raya mengejut bakal diadakan pada akhir tahun ini. Sehubungan itu tegasnya, HARAPAN harus bersiap sedia dan memulakan proses perundingan kerusi.
Sebagai rekod, kerajaan HARAPAN tumbang setelah berlakunya langkah Sheraton pada akhir Febuari lalu, Insiden itu telah menyebabkan banyak agenda reformasi yang mahu dibawakan gabungan itu tergendala.
Disebalik tohmahan kononnya HARAPAN menjual aset orang Melayu dan tidak menunaikan manifestonya, gabungan itu telah membuktikan mereka berjaya menyelamatkan beberapa aset penting orang Melayu termasuk Tabung Haji dan Felda serta membawa pulang wang diselewengkan dari 1MDB.
Tabung Haji diselamatkan dengan pemindahan aset 'sakit' kepada SPV dengan nilai hampir RM20 bilion, sementara suntikan kewangan bernilai kira-kira RM6 bilion disalurkan kepada Felda.
Manakala bekas perdana menteri, Najib Razak pula telah dibicarakan di mahkamah kerana didakwa menyeleweng dana 1MDB.
0 Comments