Tun M dah hilang minat kembalikan mandat rakyat?


SEORANG pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sabah mempersoalkan apakah Tun Dr Mahathir tidak lagi berminat menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha AMK Sabah, Razeef Rakimin berkata setelah beria-ia mahu menumbangkan Muhyiddin sebelum ini, Dr Mahathir kelihatan tidak lagi berminat mengembalikan mandat rakyat selepas KEADILAN tidak bersetuju beliau dilantik sekali lagi sebagai perdana menteri bagi kali ketiga.

“Beliau (Mahathir) dan Shafie Apdal seolah menolak untuk meneruskan agenda mengambil semula mandat rakyat sekiranya Tun Mahathir tidak disokong oleh blok HARAPAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KEADILAN menegaskan untuk tidak bersetuju dengan cadangan agar Mahathir dilantik semula perdana menteri sekiranya HARAPAN dan sekutunya mengambil semula Putrajaya.

Mereka menegaskan bahawa parti itu konsisten dengan cadangan awal yang dipersetujui HARAPAN bahawa Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim digandingkan bersama Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri dan timbalannya.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor mencadangkan dirinya menjadi perdana menteri untuk tempoh enam bulan lagi sebelum jawatan itu diserah pula kepada Anwar.

Anwar dalam satu siaran di Facebooknya baru-baru ini menegaskan bahawa keputusan seperti itu bukan satu tindakan yang baik untuk negara.

BACA: Anwar beri sebab tolak Mahathir jadi PM kali ke-3

Sementara itu, Razeef mengkritik alasan Mahathir bahawa Anwar sukar menjadi perdana menteri kerana tokoh reformasi itu memimpin parti berbilang kaum dan tidak mampu menarik majoriti sokongan Melayu.

Tegasnya, kenyataan Mahathir itu tidak lebih sebagai alasan untuk tidak mahu menyerahkan jawatan kepada Anwar.

“Pada saya alasan beliau tidak masuk akal. Jika sebelum ini beliau berdolak-dalih untuk melaksanakan peralihan kuasa, bagaimana kita boleh yakin beliau akan melepaskan jawatan selepas enam bulan?

“Dan selepas enam bulan pun Datuk Seri Anwar masih seorang presiden kepada sebuah parti berbilang kaum,” katanya sambil mempersoalkan apakah Mahathir sendiri boleh mendapat sokongan cukup ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk sekurang-kurangnya majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Post a Comment

0 Comments