Hannah Yeoh bawa 20 wakil penduduk jumpa TNB


BEKAS
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh membawa 20 wakil penduduk bertemu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pertemuan itu bagi mendapatkan taklimat mengenai isu bil elektrik yang dilapor melambung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Ahli Parlimen Segambut itu di laman media sosial Facebooknya.

“TNB menjemput saya untuk mendengar taklimat mengenai pengiraan bil elektrik semasa PKP.

“Saya meminta supaya saya boleh membawa bersama 20 wakil penduduk Segambut untuk hadir bersama. Penduduk meminta diberi lebih banyak diskaun lagi. Surat sudah pun saya hantar,” katanya hari ini.

Tangkapan layan Facebook Hannah
Sebelum ini pengguna mengadu bahawa bil elektrik mereka  ‘melambung’ sehingga merekodkan peningkatan caj melebihi RM30 apabila bacaan meter melepasi kadar 301 Kilowatt jam (kWj).

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran dalam satu laporan media sebelum ini berkata, peningkatan mendadak itu dipercayai berpunca daripada sistem bacaan meter berteraskan pendekatan ‘prorata’ yang digunakan TNB sejak sembilan tahun lalu.

Kenyataan itu mempunyai asas susulan orang ramai mendakwa peningkatan berlaku susulan tiada bacaan meter dibuat sepanjang tempoh PKP yang menyaksikan jumlah penggunaan melebihi julat 300 kwj.

Kadar jalur caj semasa yang dikenakan ketika ini ialah bacaan 1-200 kWj berkadar 21.8 sen, 201-300 kWj (33.4 sen), 301-600 kWj (51.6 sen), 601-900 kWj (54.6 sen) dan 901 kWj ke atas (57.1 sen).
 

Post a Comment

0 Comments