POLIS menjalankan siasatan berhubung kejadian cermin bahagian depan kenderaan milik Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol pecah dipercayai angkara khianat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata pihaknya juga telah membuka kertas siasatan kes itu menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan sedang memburu pelaku.
"Mangsa mendakwa tidak pernah berhutang dengan sesiapa dan tidak bermusuh dengan sesiapa, namun aktif dalam sebuah parti politik.
"Jadi dia bimbang ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya,” kata pihak polis dalam kenyataan.
Semalam, Fahmi mendapati cermin kereta jenis Viosnya pecah dibaling batu di hadapan rumahnya di Kampung Baru, Seberang Jaya.
Insiden itu disedarinya ketika mahu keluar ke tempat kerja dan mendapati terdapat ketulan batu di bahagian cermin yang retak.
Enggan menuduh sesiapa, Fahmi berkata ia adalah kejadian pertama dialami sepanjang penglibatannya dalam politik.
Budaya samseng dan politik ganas seperti ini tidak sepatutnya berlaku pada zaman ini sebaliknya banyak cara lain yang boleh digunakan sekiranya terdapat perselisihan faham atau tidak berpuas hati.
"Sekiranya ia dibuat bagi tujuan untuk menakut-nakutkan saya ia adalah perbuatan melampau dan kuno," tegasnya.
0 Comments