Percepat pindaan akta pemandu mabuk - Anwar


PINDAAN kepada undang-undang berkenaan kesalahan memandu ketika mabuk perlu dipercepatkan, tegas Pengerusi Pakatan harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menggesa pemimpin Perikatan Nasional bersikap serius dalam soal itu, Anwar menegaskan hukuman sedia ada dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak memadai untuk menangani masalah tersebut

"Di barat pun ada (negara) yang larang memandu apabila minum (alkohol) walaupun tak mabuk. Sebab bahaya itu ada.

"Jadi kerajaan perlu perketat undang-undang seperti yang dicadangkan oleh pentadbiran HARAPAN sebelum ini," katanya mengulas isu kemalangan maut melibatkan pemandu disyaki mabuk, yang kembali diperkatakan pada masa ini.

Sebagai rekod, pentadbiran HARAPAN sebelum ini telah merangka dan meluluskan pada peringkat dasar untuk memperketat undang-undang berkaitan isu itu.

Namun ia tidak dapat dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan setelah berlaku peralihan kuasa susulan 'langkah Sheraton'.

Bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke sendiri membuat pendedahan mengenai perkara itu baru-baru ini.

Sementara itu tegas Anwar, ia merupakan antara sebab sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin agar perkara penting yang disuarakan rakyat seperti pindaan undang-undang boleh dibentang dan diluluskan.

"Masalah (bila) Parlimen tak bersidang. Kadang-kadang orang tanya kenapa kita desak Parlimen sidang segera.

"Kalau nak pinda akta, nak hukum pemandu mabuk...Nak ubah undang-undang baru (pindaan) melalui Parlimen," tegasnya.

Anwar dan beberapa pemimpin HARAPAN sebelum ini mengkritik pentadbiran Muhyiddin kerana enggan melanjutkan tempoh persidangan Dewan Rakyat.

Dewan dijadualkan bermesyuarat pada 13 Julai ini selama 15 hari. Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14 yang bermula 7 Oktober ketika negara masih ditadbir HARAPAN ditangguhkan pada 5 Disember selepas bermesyuarat 36 hari.

Post a Comment

0 Comments