Kecewa Putrajaya batal peruntukan projek infrastruktur awam


KETUA
Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melahirkan rasa kecewa atas keputusan persekutuan yang membatalkan peruntukan RM100 juta bagi membangunkan sistem kereta kabel di Bukit Bendera.

Chow berkata pembatalan peruntukan itu yang diluluskan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Belanjawan 2020 Oktober lalu pastinya memberi kesan kepada Pulau Pinang.

"Ia bukan saja kesan terhadap penerusan pelan pembangunan Bukit Bendera, tetapi juga ekonomi negeri secara umumnya.

"Kerajaan persekutuan seperti menghukum penduduk Pulau Pinang dengan langkah ini," katanya dalam sidang media semalam.

Susulan pengumuman itu, kerajaan negeri jelasnya telah memulakan kajian pra-kebolehlaksanaan bagi projek tersebut. Menurut Chow, kajian masih dijalankan dan dijangka selesai pada beberapa bulan lagi.

"Semua maklumat, data dan cadangan daripada kajian ini akan digunakan pada masa depan," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Chow menegaskan bahawa pelaksanaan projek infrastruktur awam akan memberi rangsangan kepada pasaran tempatan yang terkesan ekoran kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Ia antaranya membuka peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Sementara itu menurut Chow, kerajaan negeri akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan persekutuan berkenaan perkara itu.

"Kerajaan persekutuan perlu memastikan peruntukan terhadap negeri dinaikkan bagi membantu penduduk mendepani cabaran ekonomi akibat Covid-19," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments