PEGUAM Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu tampil menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penarikan semua tuduhan kes rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan berkata, keputusan membebaskan Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sebagai sangat mengecewakan dan membingungkan.
“Memandangkan 46 pertuduhan itu melibatkan dakwaan penyelewengan atau pengubahan wang haram berjumlah lebih RM50 juta.
“Ini bukan jumlah pertuduhan yang kecil dan ini juga bukan jumlah wang yang kecil,” kata kenyataan ditandatangani Fahmi Fadzil, Khalid Samad dan Dr Ong Kian Ming itu.
Tambah mereka, Pejabat Peguam Negara perlu segera memberi penjelasan kerana ia akan mencerminkan wajah sebenar pentadbiran negara hari ini.
Terdahulu, mahkamah membuat keputusan melepaskan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu selepas diberitahu bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan berkenaan.
Bagi kes rasuah, Musa berdepan dengan 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.
Kenyataan SPRM
Sementara itu, seorang peguam vateran terkenal Mohamed Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan kesemua 46 pertuduhan tersebut hari ini, sedangkan SPRM sendiri pada 9 Nov 2018 menyatakan telah memperoleh "maklumat baru berhubung kes tersebut".
Beliau bertanyakan apakah keputusan hari ini bertentangan dengan kenyataan SPRM bertarikh 9 November 2018, dan tanpa asas yang munasabah di sisi undang-undang
"Saya katakan bahawa ia adalah amat penting untuk Pejabat Peguam Negara di bawah teraju Tan Sri Idrus Harun memberikan satu penjelasan yang lengkap dan terperinci supaya tiada timbulnya mana-mana persepsi negatif mahupun kesangsian di minda rakyat," kata Haniff
"Saya amat berharap agar satu kenyataan awam daripada Tan Sri Idrus Harun dapat dikeluarkan sesegera mungkin, untuk mengukuhkan keyakinan Rakyat berhubung pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.
0 Comments