ISU mengenai siapa calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) masih belum diselesaikan.
Ketua Setiausaha HARAPAN, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan gabungan itu bersama sekutunya masih belum mencapai kata sepakat mengenai calon tersebut dan perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung di antara parti komponen dan rakan-rakan pembangkang.
Saifuddin turut menegaskan bahawa mana-mana laporan media yang menamakan individu tertentu sebagai calon yang tidak dikeluarkan secara rasmi oleh gabungan itu adalah tidak benar.
"Saya mengikuti beberapa laporan media berkait dengan calon perdana menteri dan ingin menegaskan kenyataan-kenyataan tersebut tidak berasas dan bukannya dikeluarkan oleh Pakatan Harapan mahupun Pakatan Harapan Plus.
"Sementara kita menghormati pandangan serta komen-komen yang diberi pelbagai pihak, sayugia dimaklumkan perbincangan masih lagi dilakukan di antara komponen Pakatan Harapan dan rakan-rakan pembangkang.
"Kenyataan rasmi tentunya akan dikeluarkan apabila keputusan muktamad dicapai," katanya dalam kenyataan.
Semalam, portal FMT dalam laporannya yang didakwa diambil dari sumber yang rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata, Tun Dr Mahathir Mohammad telah disepakati dicalonkan sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.
Sumber tidak disahkan itu mendakwa gabungan tersebut telah bersetuju agar Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga akhir 2020 sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.
Bagaimanapun, pembantu kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan laporan portal berkenaan dan menegaskan isu berhubung calon perdana menteri masih belum dimuktamadkan.
BACA: Mahathir bukan calon PM - Farhash
Kenyataan Farhash turut disokong Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang berkata bahawa perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan.
"Kita boleh sebut begini la, meeting in progress. Tunggulah kita akan membuat keputusan dalam masa terdekat," katanya bekas menteri pertanian itu sambil menegaskan bahawa tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk membuat keputusan tersebut.
Selepas pentadbiran HARAPAN di Putrajaya dijatuhkan melalui 'Langkah Sheraton' HARAPAN yang disertai KEADILAN, DAP dan Amanah menubuhkan gabungan baharu bersama Warisan dan empat Ahli Parlimen yang berpihak kepada Mahathir.
Beberapa minggu lalu, gabungan baru dinamakan HARAPAN Plus itu mendakwa memiliki angka mencukupi untuk mengambil alih semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN), namun isu mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri masih menemui jalan buntu.
Gabungan itu dilihat mempunyai dua tokoh yang sama-sama berpengalaman dan layak untuk menyandang jawatan tersebut.
0 Comments