PARLIMEN wajib bersidang penuh sekurang-kurangnya dua minggu bermula 18 Mei ini, tegas ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (HARAPAN), Parti Warisan Sabah (Warisan) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pendirian itu disuarakan mereka dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Menurut kenyataan tersebut, ahli-ahli Parlimen pembangkang dari HARAPAN, Bersatu dan Warisan mengambil maklum keputusan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin.
Ia sekali gus menyifatkan keputusan itu dibuat kerajaan berikutan koronavirus (Covid-19) semakin terkawal dan beberapa aktiviti boleh dijalankan dengan syarat ia menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Bagi maksud perjalanan sidang Parlimen, SOP ini antara lain termasuk penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidung serta melakukan saringan Covid-19 bagi ahli-ahli Parlimen.
"Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan dan memandangkan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih daripada sehari yang telah diumumkan," kata kenyataan itu hari ini.
Katanya, persidangan lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu lebih mendalam serta membolehkan Ahli-ahli Jemaah Menteri melaksanakan agenda legislatif kementerian masing-masing.
"Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu," tegas kenyataan itu lagi.
Pada 4 Mac lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 18 Mei ini dan bersidang selama sehari ekoran PKP yang dilaksanakan.
0 Comments