KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baru jangkitan koronavirus (Covid-19 ) di Kuching.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baru melibatkan 37 kes positif setakat ini dinamakan 'Kluster Taman BDC' yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir Februari.
"Ini melibatkan perhimpunan Sri Petaling, di mana kes indeks menghadiri perhimpunan itu dan seterusnya menjangkiti sebahagian besar keluarganya, jemaah masjid (di Kuching) dan rakan-rakannya.
"Setakat ini, rantai jangkitan dari kelompok ini telah mencapai hingga tiga generasi," katanya pada sidang media.
Tambahnya, kes indeks di Taman BDC diuji positif pada 8 Mac, sebelum lebih banyak kes kemudian dikesan di daerah tersebut dan menyebabkan penemuan kluster tersebut.
Dengan penemuan kluster baru ini, Sarawak setakat ini telah mencatatkan empat kluster besar.
Kluster lain adalah kluster perhimpunan Gereja Kuching, kluster pulang dari Itali, dan kluster petugas kesihatan.
Bagaimanapun, kluster membabitkan perhimpunan tabligh Sri Petaling dianggap terbesar di negara ini, dengan setakat ini mempunyai kaitan dengan 2,266 kes positif.
Sehingga kini, jumlah kes positif di negara ini adalah sebanyak 6,353 kes.
0 Comments