NAIB Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang sekali lagi mengkritik pentadbiran Muhyiddin susulan kekecohan isu moratorium pinjaman sewa beli dan peribadi membabitkan Bank Negara yang 'panas' kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, tidak wajar untuk pemimpin kerajaan terus-terusan menyalahkan kakitangan awam atas kekeliruan yang berlaku dari semasa ke semasa.
"Kekeliruan tentang moratorium adalah perkara polisi yang merupakan bidang kuasa kerajaan.
"Menteri Kewangan harus memikul tanggungjawab ini dan selesaikan masalah tersebut secara tuntas.
"Menuding jari pada kakitangan kerajaan yang terima arahan daripada kerajaan ibarat lain bengkak lain bernanah," katanya dalam satu kenyataan.
Warganet sebelum ini membidas pentadbiran Muhyiddin ekoran kekeliruan mengenai kaedah serta syarat pelaksanaan moratorium pinjaman peribadi dan sewa beli yang diberikan bank-bank komersial
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kemudian meminta Bank Negara memperbaiki kaedah komunikasinya dengan pelanggan untuk mengelakkan kekeliruan.
"Ini bukan kali pertama pemimpin Pakatan Nasional (PN) menyalahkan penjawat awam yang semata-mata menjalankan tugas mereka.
"Pada Mac lalu lima pemimpin kerajaan negeri tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas Covid-19 bersama perdana menteri. Apabila perdana menteri dipertikaikan, Ketua Setiausaha Negara yang dipersalahkan dan terpaksa meminta maaf.
"Apakah ini cara PN menjaga maruah para penjawat awam?" katanya.
Sementara itu tambahnya, jika menteri PN tidak berupaya untuk merungkai kemelut negara, mereka seharus menjaga mulut dan mengelakkan diri daripada mengguris hati penjawat awam.
0 Comments