Mangsa sengatan 60 tebuan meninggal dunia


SEORANG
kanak-kanak perempuan yang sebelum ini kritikal disengat 60 tebuan di Felda Kerteh 4, Dungun meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa, Nur Nazihah Mohd Sabri,8, meninggal dunia jam 1.30 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus yang dipetik laporan Bernama berkata, kematian mangsa disebabkan kegagalan organ dalaman akibat toksin yang banyak berpunca daripada sengatan tebuan.

"Mangsa yang dimasukkan ke HSNZ pada jam 9.17 malam semalam dari Hospital Dungun mempunyai 65 kesan sengatan tebuan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik, seorang daripadanya dalam keadaan kritikal dikejarkan ke HSNZ selepas terkena sengatan tebuan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di kawasan berbukit berhampiran rumah mereka.

Nur Nazihah dan adiknya, Muhamad Azib, 6, difahamkan sedang bermain-main dengan beberapa kawan serta seorang lagi kakak mereka yang berusia 11 tahun sebelum kejadian itu berlaku.

Kejadian disedari ibu mangsa, Rohayu Mat Lazim, 39 apabila Muhamad Azib itu meluru masuk ke rumah dalam kesakitan dan memberitahu kakaknya teruk disengat tebuan.

Kedua-dua anaknya ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan dan seterusnya ke HSNZ tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Rohayu dipetik laporan portal sama berkata, jenazah anak ketiga daripada lima beradik itu dibawa pulang ke Kerteh dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kerteh 5 di Dungun.

“Sedih sangat, tidak sangka hilang anak sekelip mata, namun saya reda dengan ujian ALLAH ini. Seorang lagi anak masih dalam pemantauan doktor di HSNZ... semoga dia cepat sembuh seperti biasa,” katanya.

Post a Comment

0 Comments