PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un, akhirnya membuat penampilan pertama di khalayak ramai selepas 'menghilangkan' diri sejak 3 minggu lalu.
Jong Un ,36, dilaporkan merasmikan pembukaan sebuah kilang baja di Suncheon, berhampiran Pyongyang, pada Jumaat, bersama beberapa pegawai kanan, termasuk adik perempuannya, Kim Yo Jong.
Dia sebelum ini didakwa berada dalam keadaan kritikal susulan dilaporkan menjalani satu pembedahan sebelum ini, malah ada desas-desus mengatakan Jong un telah meninggal.
Bagaimanapun, menurut agensi berita asing, keaslian gambar yang disiarkan menerusi laman web akhbar rasmi Rodong Sinmun itu, tidak dapat disahkan.
Khabar angin mengenai status kesihatan Jong Un mula bertiup kencang apabila beliau dilaporkan tidak hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Kim Il Sung, pada 15 April.
Majlis Il Sung disambut meriah setiap tahun bagi memperingati pengasas negara itu dan Jon Un tidak pernah ketinggalan menghadiri majlis berkenaan.
Kali terakhir Jong Un dilihat di khalayak ialah pada 11 April apabila beliau menghadiri satu mesyuarat parti pemerintah Workers' Party of Korea.
Agensi berita Amerika Syarikat (AS), CNN sebelum ini turut mendakwa Jong Un berada dalam keadaan kritikal susulan menjalani pembedahan.
Bagaimanapun, portal berita berpangkalan di Seoul, Korea Selatan, awal minggu ini melaporkan, Jong Un sedang melalui proses pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan kardiovaskular pada 12 April.
Presiden AS Donald Trump yang mengulas laporan itu sebelum turut menafikan laporan berhubung keadaan kritikal Jong Un dan menganggapnya sebagai khabar angin.
0 Comments