DUA lelaki maut setelah kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh kedai di Kuantan lewat petang semalam.
Dalam kejadian di Jalan Besar berhampiran Wisma Kastam itu, dua lagi yang berada dalam kenderaan itu cedera parah.
Memetik laporan Sinar, mereka yang maut adalah pemandu kereta jenis Suzuki Swift, P Kalai Vaanan, 35, beralamat di Bidor, Perak dan penumpang belakang, M Praveendran, 18, dari Bukit Setongkol, manakala mangsa yang parah ialah P Mogan Raj, 20, dan Minggan Anak Lanjang, 25.
Tiga daripada mangsa merupakan pekerja sebuah kilang di Gebeng di sini manakala seorang lagi (M Praveendran) tidak bekerja.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke bandar Kuantan. Punca kejadian masih dalam siasatan.
Mohamad Noor berkata, mayat dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat dan dua mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai 11 anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa.
0 Comments