Rastam Hadi meninggal dunia


BEKAS
pengarah urusan Petronas yang pertama, Rastam Hadi dilapor meninggal dunia semalam.

Berita kematian Rastam dikongsikan Petronas menerusi ucapan takziah yang disampaikan daripada lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan syarikat berkenaan.

“Kami turut berdukacita dan mengucapkan takziah atas pemergian Rastam Hadi pada 9 Mei. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya syarikat minyak itu dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, Mohd Hassan Marican yang dipetik laporan FMT turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Rastam.

Menurutnya, Rastam merupakan individu berprinsip dan mempunyai semangat nasionalis yang tinggi.

“Saya ada sekali-sekala jumpa dengan dia, beliau seorang yang berprinsip, bersemangat nasionalis, berintegriti. Memang sedih bila dengar beliau telah kembali ke rahmatullah,” katanya dipetik portal itu.

Sebagai rekod, Rastam merupakan antara pegawai kanan Petronas yang tidak bersetuju dengan langkah syarikat minyak negara mengembangkan operasi ke luar negara pada awal 1990-an.

Sebaliknya beliau menggesa supaya Petronas memberi perhatian kepada usaha mengukuhkan operasi di Malaysia pada masa itu.

Sepanjang hayatnya, Rastam pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam negara antaranya sebagai timbalan gabenor Bank Negara Malaysia.

Rastam merupakan bekas pengarah urusan Petronas yang pertama dari 1973 hingga 1987.

Post a Comment

0 Comments