Mamat Khalid meninggal dunia

 


PENERBIT dan pengarah tersohor, Mamat Khalid dilaporkan telah meninggal dunia awal pagi ini ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Slim River, Perak.

Berita duka tersebut disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah yang memaklumkan Allahyarham sebelumnya dikejarkan ke hospital selepas pengsan di restoran miliknya Sarang Art Hub di Tanjung Malim.

“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata seni tanah air, Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid telah menghembuskan nafas yang terakhirnya sebentar tadi sekitar pukul 12.30 pagi pada usia 58 tahun.

“Beliau jatuh pengsan di Sarang Art Hub Tanjung Malim dan menghembuskan nafas yang terakhir di dalam ambulan ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River.

“Maklumat awal, jenazah akan dikebumikan di Ipoh esok,” katanya

Allahyarham Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman negara dengan karya filem komedi satira dan sering menyelitkan isu masyarakat serta kritikan sosial.

Antara karya hebat pengarah tersohor itu adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, 16 Puasa dan Hantu Kak Limah yang memberi kesan cukup hebat kepada penonton.

Beberapa selebriti tanah air seperti Didie Alias dan Zul Ariffin dalam Instagram yang turut bersedih dengan pemergian figura hebat dalam bidang perfileman negara.

Mamat Khalid tokoh perfileman disegani
Seniman, Pyan Habib Rahman turut berkongsi berita sedih itu di laman media sosial miliknya.

"Sahabat saya, pengarah filem mamat khalid, menghembuskan nafas terakhir sekitar 12:30 malam, sebentar tadi...Al-fatihah," tulis pelakon yang dikenali dengan watak Osman tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan itu.

Post a Comment

0 Comments