Anwar berang tindakan perlekeh kesusahan rakyat


DATUK Seri Anwar Ibrahim berang dengan tindakan sesetengah pihak yang dilihat mempersenda pihak yang memperlekeh kesusahan ditanggung rakyat.

Beliau dipercayai merujuk pihak yang memuji langkah kerajaan melaksanakan perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menurut mereka membolehkan rakyat keluar ke pajak gadai.

Merujuk gambar viral tindakan rakyat menyerbu pajak gadai, Presiden KEADILAN itu mengingatkan agar sedar dan simpati terhadap kesusahan dihadapi rakyat susulan  perlaksanakan PKP sebelum ini.

“Saya tengok ada ulasan, pelik, bangang sungguh, dia kata sebab kita longgar PKP orang boleh beratur pergi pajak gadai, kalau saya sebut bangang kasar pula.

“Kalau nak sokong kerajaan sokong lah, tapi bila orang beratur di pajak gadai itu orang itu merempat, habis apa yang ada, gelang, subang, mas kahwin, rantai semua pergi pajak gadai, ini maknanya terdesak.

“Simpatilah sikit, ini tidak, boleh kata sebab itu kita lepas PKP, naratif ini kena ubah, orang tak ada hati perut,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya.

Susulan itu Anwar sekali lagi membuat gesaan agar kerajaan menjalankan usaha meringan beban dan membangun ekonomi rakyat diberi perhatian segera.

“Saya pernah sebut dalam ceramah, konvensyen PKP tentang kajian, ia perlu dilihat dari segi pertumbuhan, kesihatan, pendidikan, pendapatan, keselesaan, tapi semua faktor ini dalam tempoh 10 tahun, malang bagi ekonomi negara kita tidak ada perkembangan.

“Buktinya, baru sebulan masalah (PKP), bukan sahaja B40, tapi M40 beratur di pajak gadai,  kita lihat keadaan ini begitu menekan kehidupan rakyat.

"Maknanya cara kita tadbir negara, cara urus ekonomi harus diubah,” tegasnya,

Anwar sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen. Antara isu yang sering dibawanya adalah berhubung isu kemiskinan seperti yang dibangkitkan Pelapor Khas PBB, Philip Alston sebelum ini.

Oktober lalu, Kaukus itu mengadakan seminar bagi membantu kerajaan merencana satu pendekatan baharu membasmi kemiskinan secara berkesan. ia termasuk merencana perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi pembasmian kemiskinan untuk jangka panjang  selaras aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika itu.

Sementara itu, dalam siaran yang sama, Anwar menegur tindakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Andul Aziz yang menurutnya terlalu cepat bermain propaganda.

Tengku Zafrul jelasnya memberi harapan kepada rakyat bahawa pertumbuhan ekonomi akan lebih baik tahun depan.

“Ini angka memukau, kononnya pertumbuhan ekonomi begitu dan begini, menteri kewangan kata pertumbuhan memberangsangkan tahun depan, cepat sangat buat propaganda, tapi di pajak gadai orang beratur," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments