PENGGUNA media sosial wajar berbangga dengan gesaan mereka sebelum ini yang akhirnya membawa dua ahli politik ke mahkamah untuk didakwa.
Bekas pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, A Kadir Jasin berkata, gesaan warganet itu telah berjaya menegakkan keadilan walaupun ia tidak sepantas langkah diambil terhadap rakyat biasa yang melakukan kesalahan.
"Walaupun tidak sepantas ke atas rakyat jelata dan orang biasa tetapi akhirnya dua orang YB (yang berhormat) daripada golongan kayangan ini diadili dan dihukum juga.
"Rakyat jelata, khususnya warga siber yang menggunakan media sosial secara produktif untuk menegakkan keadilan, boleh berbangga dengan kejayaan mereka," kata melalui satu hantaran di media sosial.
Kadir mengulas isu pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang gambar mereka 'kenduri' sebelum ini tular.
Kedua-dua mereka yang merupakan ahli politik kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik dan didenda RM1,000 setiap seorang.
Sementara itu menurut Kadir, tiada lagi alasan untuk pihak berkuasa tidak bertindak ke atas orang kenamaan yang melanggar undang-undang.
"Selepas ini tidak ada alasan lagi bagi polis, peguam negara (pendakwa raya) dan kehakiman untuk tidak bertindak terhadap VIP dan suka-sakat mereka yang sesuka hati melanggar undang-undang kerana berasa mereka istimewa dan kebal," tegasnya.
Tambahnya, jika kesalahan itu dilakukan di negara bukan Islam, dua orang kenamaan berkenaan akan berdepan dua keadaan - sama ada mereka meletak jawatan, atau dipecat parti - kerana melanggar undang-undang negara.
Namun jelasnya, amalan melepaskan jawatan sebagai tanda penyesalan jarang berlaku di negara orang Islam.
"Kerajaan negara kita sekarang ini, iatu kerajaan PN (Perikatan Nasional), diuar-uarkan sebagai kerajaan Melayu-Islam.
"Dua YB yang dihukum itu pun orang Melayu dan Islam. Kalau di negara lain, menteri langgar PKP dah letak jawatan," katanya lagi.
0 Comments