KEPUTUSAN terburu-buru seorang menteri dibawah pentadbiran Muhyiddin untuk membenarkan bazar Ramadan diadakan di Wilayah Persekutuan dikritik.
Sebuah badan pemikir memberi amaran keputusan tersebut mungkin akan memburukkan lagi penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang cuba diredakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalid yang dipetik satu laporan media berkata, ia akan menjadi tragis jika aktiviti bazar menyebabkan jangkitan virus itu meningkat dan lebih ramai terkorban.
“Siapa yang akan dipertanggungjawabkan nanti?” soalnya dalam laporan FMT.
Azrul sebelumnya mengulas pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa yang membenarkan bazar Ramadan beroperasi di Kuala Lumpur dan wilayah persekutuan lain dengan prosedur pengurusan perlu diubah suai.
Bagaimanapun, Annuar hari ini tampil dengan kenyataan bahawa keputusan untuk membenarkan bazar itu belum diputuskan lagi.
Sementara itu tegas Azrul, kerajaan tidak wajar menganggap rakyat akan selamat daripada jangkitan Covid-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 14 April ini berakhir.
“Mungkin ia memerlukan berminggu-minggu sebelum kita boleh kembali kepada keadaan normal.” tegasnya.
Sementara itu, Azrul memuji keputusan berani pihak berkuasa Terengganu dan negeri Sembilan yang mengharamkan bazar Ramadhan tahun ini .
Tegasnya, tindakan sukar itu demi melindungi rakyat dan mencegah kemungkinan penularan wabak itu.
0 Comments