Positif Covid: 29 pelajar pesantren dilarang pulang


SERAMAI 29 daripada 164 pelajar Malaysia dari sebuah pesantren di Jawa Timur, tidak dibenarkan berlepas pulang menaiki pesawat dari Surabaya ke tanah air.

Semua pelajar Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro Magetan, Jawa Timur, itu difahamkan didapati positif pemeriksaan rapid test Covid-19

Kesemua mereka sebelum itu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan, sebelum dibenarkan menaiki pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pada 8.30 malam semalam (27 April).

Ketua Rumpun Tracing Gugus Tugas Penanganan Covid-19 Jawa Timur, Kohar Hari Santoso dipetik Bernama berkata 29 pelajar itu kini menjalani rawatan lanjut berkaitan Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Mereka perlu menjalani kuarantin, dan menjalani pemeriksaan sampel lendir hidung atau tekak (PCR),” katanya.

Rapid test itu adalah sebagai usaha pemerintah Indonesia melakukan pengesanan awal sama ada seseorang itu dijangkiti tanda-tanda awal Covid-19 atau sebaliknya.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, Doni Monardo, sebelum ini berkata ujian rapid test itu bukanlah kaedah terbaik dalam mengesan virus itu, tapi lebih kepada pengesanan awal sekiranya dijangkiti Covid-19.

Terdahulu pada 19 April, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Covid-19 baru di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April 2020.

Kluster berkenaan melibatkan pelajar Malaysia dari Temboro, 1 daripada tempat yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

Post a Comment

0 Comments