ANGKA mangsa disahkan positif koronavirus di negara ini kini melebihi 4,000 orang.
Dalam sidang medianya siang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 156 kes jangkitan baru dilaporkan berbanding 170 semalam, menjadikan jumlah mangsa 4,119 orang sehingga kini.
Dalam masa yang sama jelasnya, 166 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 1,487 orang sehingga kini iaitu 36.1 peratus dari keseluruhan kes.
Angka mangsa yang dibenarkan keluar wad juga lebih tinggi berbanding jangkitan baru yang dikesan.
Manakala jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan yang agak tinggi, dari 92 semalam kepada 76 hari ini.
“Daripada jumlah itu 45 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Hisham.
Bagaimanapun ada 2 kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan seramai 65 orang.
Kes kematian ke-64 (kes ke-2903) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 7 April 2020 jam 3.20 petang.
Manakala mangsa ke ke-65 (kes ke-1906) merupakan warga Pakistan yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 April 2020 jam 9.30 pagi.
Dalam pada itu, Hisham memaklumkan pihaknya mengesan 1 sub-kluster di daerah Rembau, Negeri Sembilan yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan di Sri Petaling.
Sub-kluster itu melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa penduduk setempat di kawasan Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.
Sehingga kini, 27 orang dikenalpasti positif Covid-19 termasuk 2 kes yang sedang dirawat di ICU.
“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.
“Penularan ini dipercayai berpunca daripada 1 mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan yang dihadiri oleh kes ke-448, yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Sri Petaling,” katanya.
Para guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga dan penduduk kampung sehingga 3 generasi jangkitan.
“Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung- mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat walaupun negara kini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
0 Comments