HARAPAN cadang benar aktiviti ekonomi terkawal di zon hijau


MAJLIS
Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan agar kelonggaran aktiviti ekonomi diberi kepada penduduk di kawasan zon hijau yang bebas daripada penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Gesaan itu dibuat melalui satu kenyataan media siang tadi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan.

“Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai cukup data dan statistik, serta pemetaan taburan kes positif Covid-19 mengikut mukim, daerah, serta lokaliti.

"Ada daerah atau lokaliti yang memang tidak terkesan dengan jangkitan Covid-19 sejak dari awal epidemik ini bermula, yang ditakrif zon hijau.

“Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berpandangan sekiranya PKP diteruskan selepas 14 April, beban ekonomi khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kumpulan B40 terutama yang berada dalam zon hijau dapat dibantu,” kata kenyataan  ditandatangani Hatta Ramili dari Amanah, Fahmi Fadzil mewakili KEADILAN dan Loke Siew Fook dari DAP itu.

Mereka memberi beberapa cadangan yang boleh dilakukan jika kelonggaran itu diberikan, antaranya mengisytiharkan zon hijau Covid-19 mengikut kedudukan terkini jangkitan, daerah atau mukim.

“Penduduk di zon hijau ini dibenarkan menjalankan aktiviti ekonomi seperti membuka gerai makanan, pasar tani, bengkel kereta dan sebagainya, tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan KKM.

Bagaimanapun mereka turut meningatkan agar kawalan rapi perjalanan keluar masuk ke kawasan hijau tetap diperketat dengan semua syarat-syarat dan garis panduan KKM berkait urusan penjarakkan sosial, kebersihan diri, pemakaian penutup muka serta larangan majlis keramaian atau perhimpunan orang ramai dikekalkan.

"Langkah itu akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan, serta mula memulihkan ekonomi setempat," tegas mereka.

Terdahulu, banyak peniaga kecil-kecilan dan golongan petani merungut kehilangan punca pendapatan akibat PKP.

Sebilangan petani sebelum ini dilapor membuang hasil tani mereka kerana tidak dapat dipasarkan.
 

Post a Comment

0 Comments