RAKYAT di negara ini digesa terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau bimbang hospital di negara ini tidak mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 jika berlaku pertambahan kes secara mendadak.
"Jika kes mencapai 2,500 sehari, hospital kita sama ada kerajaan atau swasta tidak mampu (menampung pesakit) lebih-lebih lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU)," tegasnya.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, setakat kini penularan wabak itu masih mampu dibendung dengan jumlah positif hanya pada kadar 7.9 peratus.
“Setakat ini, melalui dasar kita melaksanakan PKP, kita sudah menyekat penularan tempatan dan memastikan mereka yang pulang dari luar negara dikuarantin, selain pelancong dari luar negara disekat masuk.
“Disebabkan itu, kemasukan (kes) dan penularan tiada, jadi kita harap dapat meningkatkan pengesanan kes dan mengurangkan jangkitan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 4,488 warga Malaysia yang pulang dari luar negara sedang menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan sejak 3 April lalu.
Katanya, mereka disaring sebaik tiba di tanah air dan daripada jumlah itu, 15 kes yang dikesan mempunyai gejala.
“Kita asingkan mereka bagi menjalankan ujian COVID-19 dan kalau positif, kita akan masukkan mereka ke hospital untuk pemantauan dan rawatan,” katanya.
0 Comments