MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 29 Sept bagi pendengaran rayuan Khairy Jamaluddin terhadap keputusan mahkamah rayuan menolak rayuannnya dalam saman fitnah difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam J.Leela yang mewakili Anwar dipetik Bernama berkata, pendengaran rayuan itu pada awalnya ditetapkan hari ini tetapi dikeluarkan daripada senarai dan digantikan dengan prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Azniza Mohd Ali.
Pada April tahun lepas, Khairy mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya.
Anwar memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac, 2008, Ahli Parlimen Rembau itu didakwa membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb tahun sama dan telah menyebabkan klip video bertajuk “Anwar and kin no threat” disiarkan di portal berita.
Pada September 2017,Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.
Pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan Khairy selepas membenarkan permohonan dikemukakan peguam mewakili Anwar untuk membatalkan notis rayuan itu.
0 Comments