Doktor pakar M'sia mangsa koronavirus di UK


PAKAR runding neonatologi warga Malaysia yang berkhidmat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Birmingham  menjadi korban Covid-19 di United Kingdom.

Birmingham Women’s and Children’s NHS Foundation Trust dalam hantaran pada laman sesawang rasminya pada Jumaat membuat pengumuman kematian Dr Vishna Rasiah.

“Beliau dihormati di seluruh Midlands menerusi peranannya sebagai ketua klinikal untuk rangkaian neonatal wilayah,” menurut hantaran yang dibuat sebagai penghormatan kepada mendiang.

Mendiang Dr Vishna, 48, meninggalkan  isterinya, Liza dan seorang anak perempuan, Katelyn.

Sementara itu, Ketua Eksekutif hospital berkenaan, Sarah-Jane Marsh dipetik berkata Vishna seorang doktor yang hebat, pemimpin, rakan sekerja dan sahabat yang mempunyai minat mendalam terhadap penjagaan bayi dan keluarga mereka.

“Kehilangan beliau adalah sukar buat kebanyakan kami, terutamanya kepada sesiapa yang terlibat dalam penjagaan neonatal dan sudah tentu isteri dan anak perempuannya yang cantik,” katanya.

Pengarah perubatan hospital itu, Dr Fiona Reynolds pula berkata pemergian Vishna adalah satu kehilangan besar dan memilukan buat mereka di sekeliling beliau.

“Amat menyedihkan kami kehilangan seseorang yang berbakat, berdedikasi dan dihormati seperti Vish. Pemergian beliau bukan hanya dirasai oleh sahabat dan rakan sekerja di hospital kami tetapi ramai di seluruh Midlands yang pernah bekerja bersama beliau buat sekian lama,” jelasnya.

Isteri Vishna, Liza pula dipetik berkata suaminya merupakan seorang anak lelaki dan abang yang disayangi keluarganya di Malaysia dan Trinidad.

"Vish cintakan kerjanya bagi beliau ia lebih daripada hanya sebagai satu pekerjaan dan rakan sekerjanya adalah sebahagian daripada keluarga kami.

"Beliau melayan setiap pesakit dan keluarga seumpama keluarganya sendiri, saya amat berbangga dengan beliau, kata Liza menurut laporan FMT.