Arak: Huru Hara jika berlaku zaman HARAPAN


PENULARAN sepucuk surat sebuah kementerian yang memberi kelonggaran untuk sebuah syarikat pengeluar arak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semalam mencetus kritikan warganet.

Kebanyakan mereka beranggapan perkara itu tidak wajar berlaku lebih-lebih lagi ketika pentadbiran baharu yang muncul susulan langkah Sheraton itu mahu dianggap sebagai 'sebuah kerajaan melayu-Islam" 

Warganet beranggapan kebenaran itu bukan sahaja memalukan, malah mencabar maruah umat Islam di negara ini. 

Surat kelonggaran itu bukan sahaja membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan warganet, ia turut menjadi perhatian beberapa parti politik di negara ini.

Ada kaitan orang berkepentingan?

Dalam satu kenyataan bersama, Armada Bersatu mempersoalkan sekiranya arak dan minuman keras dikategorikan sebagai keperluan kritikal.

Sedangkan menurutnya, garis panduan yang dikemukakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menyenaraikan 10 perkhidmatan penting dengan sektor kritikal sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Ribuan perniagaan halal dan milik Bumiputera terjejas akibat Covid-19 dan PKP terutamanya bagi industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mengapa pengecualian khas diberikan kepada kilang arak Heineken ini sedangkan terang-terangan perniagaan mereka adalah haram?

“Adakah kilang ini mempunyai kaitan dengan orang berkepentingan?,” soal mereka.

Semalam melalui satu laporan oleh portal Malaysiakini, syarikat arak terbabit mengesahkan kesahihan surat dari kementerian berkenaan.

Kafir Harbi


Sementara itu, seorang pemimpin Pemuda AMANAH Terengganu, melahirkan rasa kesal apabila pengoperasian kilang arak itu dibenarkan.

Ketuanya, Zamir Ghazali menegaskan bahawa kerajaan mesti menumpukan usaha memastikan makanan asasi mencukupi dan menyelesaikan masalah hasil tani yang dibuang seperti di Kundasang dan Cameron Highlands.

Keutamaan membantu kumpulan industri seperti itu tegasnya adalah lebih menepati aturan Maqasid Syariah berbanding operasi perniagaan arak.
Zamir sebelumnya turut mempersoal mengapa pemimpin sebuah parti 'agama' yang lantang dalam isu arak sebelum ni terlalu lewat menyatakan pendirian dalam isu minuman memabukkan itu.

Dalam perkembangan serupa, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad turut mengkritik sikap segelintir penyokong parti politik yang sebelum ini sering mencari salah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam satu ciapan di Twitter, Pengarah Komunikasi Parti Amanah itu berkata, jika perkara itu berlaku di bawah pemerintahan HARAPAN pasti negara huru-hara dengan laungan takbir dan tuduhan kafir harbi.

"Hmmm.. Kalau berlaku zaman PH dah huru-hara negara dengan laungan takbir, tuduhan kafir harbi, dsbnya (dan sebagainya)

"Apa dasar Islam terhadap arak? Ia persoalan lama yang wujud sejak dulu, bukan isu baru," katanya.

Post a Comment

0 Comments