ISU pelantikan ahli-ahli parlimen yang menyokong pentadbiran Muhyidin Yassin ke jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengundang kritikan warganet sebelum ini.
Tidak terkecuali, tindakan itu yang dianggap 'mengundur kebelakang' turut dibidas beberapa nama besar.
Bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz sebelum ini menegaskan kecewa dengan tindakan tersebut, malah Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam kenyataan semalam menyifatkan tindakan Muhyiddin melantik ahli parlimen yang menyokong, sehingga terbentuk kerajaan diterajuinya sebagai satu usaha mengukuhkan sokongan.
Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini dalam satu kenyataan menegaskan bahawa HARAPAN menentang keras tindakan seperti itu.
Anwar berkata, gabungan itu menyifatkan ia sebagai jenayah yang dilakukan di saat negara sedang menghadapi krisis koronavirus (Covid-19).
Pentadbiran Muhyiddin ketika ini tegasnya adalah tidak ada satu mesej yang kohesif dan perkara itu perlu dihentikan.
“Anda bercakap tentang membantu golongan miskin dan anda bercakap mengenai ekonomi.
“Pada masa yang sama anda bercakap tentang melindungi kepentingan ahli Parlimen dan kroni anda. Setiap ahli Parlimen akan diberi posisi tambahan ketika susah makan, ini adalah jenayah bagi saya.
“Ini perlu dihentikan,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook itu.
Isu lantikan ahli parlimen ke GLC kerajaan mula dipertikai ramai setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan membuat kenyataan bahawa ahli Parlimen kerajaan yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi GLC.
Takiyuddin berkata ia kerana mereka layak untuk dipertimbangkan ke jawatan itu.
Sementara itu, Anwar menegaskan bukan masalah melantik satu atau 2 ahli Parlimen kerjaaan yang betul-betul berkelayakan kedalam GLC, namun bukan semua ahli parlimen yang menyokong kerajaan perlu dilantik mengetuai agensi berkait kerajaan itu.
0 Comments